Tuesday, July 14, 2009

Ringkasan Peristiwa Israk Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Thursday, June 11, 2009

Sejarah Penubuhan

Pertubuhan Badan Kepimpinan Dakwah Islamiah (BAKDIS) mula dirancang untuk ditubuhkan pada 26 September 2008. BAKDIS diletak di bawah Persatuan Pendidikan Islam, Taamil Masjid dan Unit Bimbingan dan Kaunseling untuk memudahkannya bergerak kerana BAKDIS merupakan suatu persatuan yang asing dalam kalangan guru dan pelajar.

Pada awalnya pertubuhan ini dikenali dengan nama Badan Dakwah dan Islam. Akhirnya, nama pertubuhan ini ditambah dengan perkataan ‘kepimpinan’ dan muncul sebagai Badan Kepimpinan Dakwah Islamiah atau dikenali sebagai BAKDIS.

BAKDIS ini ditubuhkan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah, merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan iaitu saudara Mohamad Nurul’Alimin Bin Mohd Hasarudin (Presiden BAKDIS 2008/2009). Beliau seterusnya disokong oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah iaitu saudara Muhammad Al-Fatihe Bin Mohd Ali Hanafiah (Timbalan Presiden BAKDIS 2008/2009).

Pertubuhan ini pada mulanya tidak mendapat begitu banyak sambutan dan hanya mendapat ahli sekitar 20 orang pada 11 Januari 2009. Pada pertengahan bulan tiga, keahlian telah mencapai sekitar 90 orang dan akhirnya Presiden BAKDIS telah menghadkan jumlah ahli tidak melebihi 90 orang.

Atas bantuan guru agama SMK Hamzah iaitu Ustaz Nik Mat Daud Bin Nik Salleh dan sokongan sekolah lain, pertubuhan ini telah disahkan oleh pihak sekolah. Seterusnya, pengetua SMK Hamzah ketika itu, Pn. Hajah Norzilan Binti Haji Abd Ghani menjadi penaung kepada pertubuhan Badan Kepimpinan Dakwah Islamiah (BAKDIS).

Monday, December 22, 2008

Ikut Merayakan Perayaan Agama Lain

Agama Islam adalah agama yang menjaga hubungan antara umat manusia di dunia ini. Disamping menganjurkan agar menjalinkan hubungan silaturrahim antara kaum kerabat dan kaum muslimin seluruhnya juga dianjurkan dalam membina hubungan dengan orang yang beragama lain. Dalam surah An Nisaa ayat 36 dijelaskan maksudnya: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh....".

Maksud tetangga yang dekat iaitu tempat tinggalnya berdekatan ataupun tetangga yang masih ada hubungan kerabat atau nasab ataupun sama-sama beragama Islam. Sedangkan tetangga jauh maksudnya adalah tetangga yang tidak mempunyai hubungan kerabat, jauh tempatnya atau berlainan nasab mahupun agama. Jadi dengan tegas Allah menyuruh kita menghormati tetangga baik sesama muslim mahupun yang bukan muslim (kafir).

Dalam hadis yang diriwayatkan Al Bazza sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Tetangga itu ada tiga macam. Tetangga yang mempunyai satu hak iaitu tetangga yang terdekat haknya. Tetangga yang mempunyai dua hak dan tetangga yang mempunyai tiga hak iaitu tetangga yang paling utama haknya. Tetangga yang mempunyai satu hak adalah tetangga musyrik yang bukan kerabatnya. Ia hanya mempunyai hak sebagai tetangga. Tetangga yang mempunyai dua hak adalah tetangga muslim iaitu yang mempunyai hak sebagai orang Islam dan hak sebagai tetangga. Sedangkan yang mempunyai tiga hak adalah tetangga muslim yang masih ada hubungan keluarga, dia mempunyai hak sebagai tetangga, hak sebagai orang Islam dan hak sebagai keluarga". Menurut Imam Al Qurthubi; "Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap orang muslim ataupun kafir. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman". Bahkan dalam hadis Rasulullah juga ditegaskan tidak beriman seseorang itu jika ia mengganggu tetangganya. Begitu indah ajaran Islam dalam menjalinkan hubungan antara sesama manusia di dunia ini. Tidak kiralah apakah mereka tergolong orang-orang muslim ataupun orang-orang kafir.

Diriwayatkan juga bahawa Abdullah bin Umar menyembelih kambing. Ketika Ibnu Umar datang ia berkata: "Berikanlah sebahagian kepada tetangga kita orang Yahudi" diucapkannya tiga kali. "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Jibril selalu berwasiat kepadaku mengenai tetangga hingga aku mengira ia akan mewariskannya". Begitu jelas bahawa ajaran Islam menghormati dan menghargai setiap insan, maka tidak benar anggapan yang mengatakan bahawa Islam tidak menghormati hak orang yang bukan Islam.

Khusus berkaitan dengan meraikan perayaan agama lain maka dalam hal ini kami kemukakan dalil-dalil atau nas-nas Al Quran yang jelas;

1. Sesungguhnya umat Islam dibolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam masalah-masalah yang berhubungan dengan masalah keduniaan.

(Sila rujuk surah Al Hujarat ayat 13, Surah Luqman ayat 15, Surah Mumtahanah ayat 8)

2. Umat Islam tidak dibolehkan mencampuradukkan ajaran agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain. (Sila rujuk Surah Al Kafirun ayat 1 - 6, Surah Al Baqarah ayat 42)

3. Umat Islam harus menyedari bahawa agama-agama masa silam yang mempunyai kitab mereka telah sesat dan ingkar dengan perintah Allah, apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai kitab maka bertambalah kesesatanya. (Sila rujuk Surah Al Maidadh ayat 72, Surah Al Maidah ayat 73, Surah At Taubah ayat 30).

Jelaslah bagi kita bahawa meraikan perayaan agama lain sama dengan mencampuradukkan ajaran Islam dengan aqidah agama lain. Sedangkan Islam melarang kita untuk sama-sama meraikan perayaan keagamaan tapi menganjurkan berbuat baik dan saling tolong menolong dengan mereka dalam masalah keduniaan. Sesungguhnya mengikuti, meraikan dan sama-sama menyertai mereka menyambut perayaan keagamaan mereka hukumnya

Sunday, December 21, 2008

Tipu Daya Dajjal

Untuk mengetahui ciri-ciri Dajjal secara lebih terperinci maka Rasulullah SAW telah menerangkannya dalam khutbah baginda sebagai berikut: "Sesungguhnya tidak ada fitnah atau kerosakan di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah Nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi angkatan kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kewafatanku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin. " "Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Disini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya. " "Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah tidak ada lagi nabi sesudahku. Setelah itu nanti ia mengaku sebagai tuhan. Ingatlah Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca mahupun buta huruf. " "Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang diseksanya dengan nerakanya hendaklah ia meminta pertolngan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. " "Diantara tipu dayanya juga dia berkata kepada orang Arab: 'Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagau tuhanmu ?'. Orang Arab itu akan berkata: "Tentu". Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya, sifat-sifatnya dan suaranya sama. Kemudian ibu bapanya berkata kepadanya: 'Wahai anakku, ikutilah dia sesungguhnya dialah tuhanmu'. " " Tipu daya Dajjal yang lain iaitu ia bunuh seseorang kemudian dibelah dua. Setelah dia katakan kepada orang ramai: 'Lihatlah apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan ku hidupkan dia semula.' Dengan izin Allah, orang mati tadi hidup semula. Kemudian Dajjal itu bertanya: 'Siapa tuhanmu?'. Orang yang dibunuh itu kebetulan orang beriman menjawab: 'Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah'. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga. " Sabda Rasulullah SAW lagi: "Diantara tipu daya Dajjal juga, apabila disuruh langit menurunkan hujan, tiba-tiba hujanpun turun. Dia suruh bumi mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling hebat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan demikian tanaman-tanaman mereka semuanya musnah. " " Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak di datangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kita Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. " Dalam hadis yang lain disebutkan: "Dari Anas bin Malik katanya Rasulullah SAW bersabda: 'Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta yang dipercayai dan orang jujur yang tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai '. Wallahu A'lam.

Untuk Amalan Kita Semua.


Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis

Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: ”Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya..”

Sabda baginda lagi; Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.

Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.

Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.

Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.



Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya



Dari Abdullah bin 'Amr r.a. ,
Rasullullah s.a.w. bersabda : ”SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT”

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons